Selepas harimau, tapir betina pula sesat
  • 5 years ago
Penduduk di Lavender Heights di Senawang, gempar dengan kehadiran seekor tapir yang berkeliaran di kawasan perumahan itu semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Seremban, Kapten Md Fadir Md Nor, berkata kehadiran tapir itu mula disedari penduduk setempat kira-kira jam 12 tengah hari tadi, sebelum membuat panggilan kecemasan untuk menangkap haiwan terbabit.

Katanya, seramai lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) hadir di lokasi itu sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 12.32 tengah hari.

“Usaha menangkap tapir itu turut dibantu beberapa penduduk.

“Kita berjaya mengurung haiwan berkenaan di pekarangan sebuah rumah penduduk sebelum pihak kami menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya

Mengulas lanjut, katanya, tapir itu dipercayai datang dari kawasan hutan terletak berhampiran dengan kawasan perumahan itu.

“Pihak PERHILITAN dengan bantuan APM kemudian berjaya memasukkan tapir itu ke dalam sangkar untuk dipindahkan ke lokasi selamat,” katanya.

Katanya, tiada kecederaan dilaporkan ketika usaha menangkap tapir itu dijalankan.