Ansuran bawah Dana Rumah Mampu Milik boleh kurang 20 peratus - Lim
  • 5 years ago
Bayaran ansuran bulanan bagi peminjam di bawah Dana Rumah Mampu Milik dijangka dapat dikurangkan sebanyak 20 peratus dengan kelonggaran syarat yang diberikan terhadap pemohon dana itu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Bermula 1 Sept ini, katanya skim Dana Rumah Mampu Milik berjumlah RM1 bilion seliaan Bank Negara Malaysia dilonggarkan untuk pembeli yang berpendapatan tidak melebihi RM4,360 sebulan untuk membeli rumah berharga tidak melebihi RM300,000.

Sebelum ini, dana itu disediakan untuk membantu mereka yang berpendapatan tidak melebihi RM2,300 sebulan untuk membeli rumah berharga tidak melebihi RM150,000.

"Pemohon yang berjaya akan menikmati kadar faedah yang rendah pada 3.5 peratus setahun dengan tempoh pinjaman sepanjang 40 tahun. Kita harap dengan kelonggaran ini, lebih mudah untuk pembeli mendapat pinjaman,” kata Lim dalam sidang media bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini.

Sebelum itu, dua menteri berkenaan menghadiri mesyuarat kumpulan fokus Belanjawan 2020 perumahan mampu milik di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini.