Tindakan ganas tidak kurangkan Islamofobia - Tun M

  • 4 years ago
Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan perlunya untuk umat Islam, di sebalik kemarahan dan kekecewaan mereka, mengelak daripada melakukan tindakan keganasan kerana ia tidak dapat membantu usaha dalam menentang Islamofobia.

“Selagi kita bertindak dengan kemarahan, selagi kita melakukan perkara yang menakutkan orang, dan lebih buruk lagi jika kita melakukan jihad Islam, ketakutan terhadap umat Islam dan agama Islam tidak akan berkurangan,” katanya.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi persidangan itu, berkata demikian dalam ucaptama pada pembukaan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, hari ini.

“Kami marah dan kecewa. Kami tidak boleh melancarkan perang konvensional. Tiada negara akan membantu kita. Biarpun jika ada, apa yang kita dapat dengan tindakan keganasan? Tiada apa-apa”, katanya.

Beliau berkata beberapa pihak mendakwa tindakan keganasan dilakukan oleh mazhab lain yang dilabel sebagai bukan pengikut Islam sebenar.

“Tetapi penentang dan mangsa tidak peduli dengan perbezaan mazhab kita. Bagi mereka, kita semua Muslim. Perbezaan antara mazhab tidak relevan,” kata perdana menteri.