Masa untuk PH nilai semula janji manifesto

  • 5 years ago
Kini masanya untuk Pakatan Harapan (PH) menilai semula janji manifesto terutama yang tidak terlaksana untuk mengembalikan keyakinan rakyat, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata rakyat pasti akan lebih menghargai langkah itu berbanding cuba berselindung.

"Sejumlah 444 hari sejak pertukaran kerajaan yang bersejarah, kini masanya untuk PH menilai semula manifesto dan janji dalam PRU ke-14.

"Berikan PH ruang untuk berterus-terang dengan rakyat dan mengakui, kalau ada, sesetengah janji yang hampir mustahil untuk dilaksanakan dan saya percaya rakyat akan menghargai usaha ini daripada kita cuba untuk menyembunyikannya.

"Marilah kita juga menilai dan menyemak kembali mana-mana janji yang kita tidak berjaya tunaikan dalam masa 100 hari atau dalam tahun pertama," katanya ketika berucap di acara Simposium Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Depan di Parlimen, hari ini.

Lim yang juga anggota parlimen Iskandar Puteri itu berkata penilaian semula itu penting untuk menentukan negara di landasan yang betul.

Janji manifesto yang belum ditunaikan antara isu utama yang dibangkitkan pembangkang dalam kritikan mereka, serta dilihat sebagai sebab utama kemerosotan keyakinan awam terhadap kerajaan.

Awal bulan ini, PH mengumumkan penubuhan jawatankuasa baru untuk mengkaji kaedah bagi melaksanakan manifestonya.

Simposium hari ini anjuran bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof, Majlis Ahli-ahli Backbencher dan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus.