Janji manifesto PH ke-39 dikoyak

  • 5 years ago
Aktivis alam sekitar Tan Bun Teen dari Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) yang mengetuai perhimpunan anti-Lynas, berkata kerajaan gagal menunaikan janji nombor 39 dalam manifesto yang mana Pakatan Harapan berikrar mentadbir negara berlandaskan prinsip kemampanan.

Tan turut mengoyakkan kertas dan menggesa peserta himpunan turut melakukan perkara yang sama.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada hari Khamis lalu mengumumkan bahawa kerajaan telah melanjutkan lesen operasi kilang nadir bumi yang dimiliki oleh pelombong Australia Lynas Corp, selama enam bulan.

Lesen operasi itu - yang dijadual tamat bulan depan - dilanjutkan berdasarkan keputusan mesyuarat kabinet.

Bagaimanapun, dengan pembaharuan lesennya, Lynas mesti mematuhi beberapa syarat yang dikenakan ke atasnya.

Antara syarat-syaratnya adalah Lynas perlu mengemukakan rancangan pembinaan kemudahan operasi memproses sisa radioaktif, dipanggil 'cracking and leaching', di luar negara agar proses itu - yang kini dilakukan di Gebeng - dapat dikeluarkan dari Malaysia.

Selain itu, LPTA berkata Lynas juga perlu menamatkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usahanya untuk mengkomersialkan residu Water Leach Purification (WLP) kepada baja pertanian, Condisoil.

Recommended