KJ kritik Majlis penasihat kerajaan, 'tidak dipilih, tidak dipertanggungjawabkan!'
  • 6 years ago
Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) hari ini menimbulkan kebimbangan tentang pengaruh Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), yang digambarkannya sebagai majlis yang "tidak dipilih dan tidak dipertanggungjawabkan".

Bercakap semasa sesi soal jawab di Parlimen pagi ini, Khairy memberi contoh bagaimana Pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin memanggil hakim-hakim kanan dan mengarahkan mereka untuk meletakkan jawatan.

“Itu bukan nasihat. Itu adalah arahan serta-merta letak jawatan dan ini direkodkan,” katanya.

Khairy juga merujuk pelantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, seorang lagi anggota CEP, yang menerajui dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan Sime Darby Properties.

“Adakah ini percanggahan kepentingan, conflict of interest? Bila kerajaan nak bubarkan CEP yang unaccountable dan juga unelected ini?” soalnya.

Menjawab soalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, Datuk Liew Vui Keong mengulangi bahawa peranan CEP adalah sebagai majlis penasihat.

“Kerajaan sebelum ini juga telah melantik banyak badan penasihat, seperti badan penasihat mengenai 1MDB, special advisory on many other bodies.

“Tetapi soal accountability ataupun locus standi bagi CEP ini tidak wujud bagi locus standi kerana mereka ini hanya abertindak sebagai badan penasihat dan tidak terikat kepada apa-apa perundangan.

“Jadi keputusan mereka ini tidak semestinya binding (mengikat) kepada kerajaan. Kerajaan mengambil pandangan daripada mereka...,” katanya.

Tidak puas hati dengan jawapan berkenaan, Khairy kemudian mempersoalkan mengapa Daim minggu lalu ke Beijing untuk berunding dengan kerajaan China.

“Apa yang berlaku di China, rundingan dari Daim, adakah itu advisory? Adakah itu hanya memberi nasihat?” soalnya.
Bagaimanapun, Liew berkata kunjungan Daim itu adalah atas arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sekiranya diarahkan, bolehlah pergi melawat. Jadi untuk mendapat pandangan dan juga isu-isu yang berkenaan negara ini,” katanya.

Mahathir dijadualkan membuat lawatan rasmi ke China bulan depan.

Liew juga mengulangi bahawa majlis itu akan dibubarkan selepas 100 hari HARAPAN berkuasa.