Penghujung perjalanan seni Zainal Abidin
  • 6 tahun lalu
SELAMA 40 tahun meniti perjalanan sebagai penyanyi, pastinya banyak memahat kenangan pahit manis dalam lipatan kehidupan Datuk Zainal Abidin.

Dalam usia 57 tahun, penyanyi lagu berjudul Hijau itu mengakui, beliau sudah bersedia untuk bersara daripada persada seni tanah air.

Sekembalinya daripada mengadakan persembahan yang melakar sejarah dunia di Rom, Itali baru-baru ini, Zainal mengumumkan persaraannya itu di hadapan wakil media massa yang hadir pada sidang akhbar, Music For Mercy.

Walaupun berpeluang mengadakan persembahan di Roman Forum yang berusia 3,000 tahun, Zainal memberitahu secara jelas, sidang akhar yang diadakannya itu diadakan bukanlah bertujuan untuk riak atau bermegah-megah.

Sebaliknya, tegas Zainal, beliau mahu penggiat seni tanah air tahu bahawa peluang untuk mereka melangkahkan kaki ke luar negara dan beraksi di atas pentas antarabangsa, sememangnya terbuka luas.

Cuma, apa yang mengejutkan ialah pengumuman persaraan Zainal Abidin.

Kita ikuti rakaman sidang akhbar Music For Mercy, Zainal Abidin di Rom, Itali. - UTUSAN ONLINE : KUALA LUMPUR