'Pocong hantui penduduk di musim wabak Covid-19'

  • 4 years ago
Kelibat susuk berbungkus kain kafan disebut pocong yang meloncat-loncat ketika bulan mengambang menghantui Desa Kepuh di Indonesia, lapor Reuters

Bagaimanapun, hantu itu bukanlah hantu betul, melainkan cuma inisiatif penduduk kampung di Jawa untuk menggalakkan langkah penjarakkan sosial di tengah wabak Covid-19.

Ia dibuat dengan harapan kepercayaan karut sebegitu dapat membuatkan orang ramai tidak keluar dari rumah.

"Kami mahu buat lain daripada yang lain dan mencipta kesan pencegahan kerana pocong itu menakutkan," kata Anjar Pancaningtyas, ketua pemuda Desa Kepuh yang menyelaraskan kaedah itu bersama pasukan polis.

Bagaimanapun, kemunculan pocong di kampung itu memberi kesan sebaliknya daripada jangkaan awal, malahan menimbulkan rasa ingin tahu penduduk yang keluar dari rumah bagi melihat 'hantu' itu.

Akhirnya, penganjur mengubah taktik dengan melancarkan pasukan 'pocong' meronda kampung, dengan penduduk 'berlakon' menjadi hantu itu.