Isu ekonomi, COVID-19 keutamaan PH ketika ini - Anwar

  • 4 years ago
Isu ekonomi dan Covid-19 merupakan keutamaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini, kata presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Anwar turut mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai tidak mempunyai hala tuju jelas dalam menangani dua isu berkenaan.

Ahli parlimen Port Dickson itu berkata demikian apabila ditanya sama ada PH masih bertegas untuk membawa usul tidak percaya di parlimen bagi menentukan sokongan ahli Dewan Rakyat pada sidang 18 Mei nanti.

"Tumpuan kami (PH) adalah untuk memantapkan kekuatan untuk membangkitkan isu-isu besar yang berkaitan dengan pengangguran, isu ekonomi dan kesusahan rakyat.

"Kami tidak menolak apa-apa kemungkinan tetapi tumpuan mestilah kepada rakyat, Covid-19 dan isu-isu ekonomi," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.