Saya jamin meneruskan kebebasan media - Saifuddin

  • 4 years ago
Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mengepalai Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi jaminan akan terus berpegang kepada konsep kebebasan media yang dipraktikkan selama ini.

Bagaimanapun menurut beliau, KKMM tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita palsu yang semakin berkembang masa kini.

“Saya rasa Akta Kebebasan Maklumat adalah agenda yang saya akan teruskan. Saya pegang kepada kebebasan dan hak asasi manusia dan rules of law.

“Saya beri jaminan saya akan meneruskan menegaskan kebebasan bersuara, kebebasan berorganisasi termasuk kebebasan media. Boleh pegang kepada kata-kata saya, tidak kira saya bersama pihak mana,” katanya dalam sidang media sebelum mempengerusikan Mesyuarat KKMM yang pertama bersama ketua-ketua jabatan dan agensi hari ini.

Ditanya samada KKMM akan mengkaji semua pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018, Saifuddin berkata, perkara itu akan turut diambil kira kementeriannya dalam mendepani penularan berita palsu.

“Dulu ada Akta Anti Berita Tidak Benar dan ditarik balik, jadi tidak adil kepada saya untuk buat pengumuman sama ada kita nak laksanakan ia semula kerana ia melibatkan kementerian lain juga.

“Tapi isu ini akan saya ambil perhatian. Saya akan lihat semula tapi isunya bukan Akta Anti Berita Tidak Benar, tapi adalah kebebasan bersuara,” katanya.