Pan Borneo: PH sekat pembangunan ekonomi Sabah - Najib

  • 4 years ago
Bekas Perdana Menteri Najib Razak mendakwa Pakatan Harapan (PH) telah menyekat usaha BN untuk menukar landskap ekonomi rakyat Sabah apabila projek raksasa lebuh raya Pan Borneo kini terbengkalai.

Najib berkata, projek mega berkenaan adalah hadiah kerajaan BN kepada rakyat Sabah dengan membina lebuh raya tanpa tol.

"Ada dua isu utama yang berkisar sebelum pilihan raya kecil ini, pertama yang saya dapat lihat sendiri jalan Pan Borneo yang terbengkalai.

"Ini projek raksasa zaman BN masa saya jadi perdana menteri, hasrat saya ini satu hadiah kepada rakyat Sabah, yang akan menukar landskap ekonomi Sabah, tambahan tidak dikenakan tol.

"Tapi bila PH ambil alih mereka telah ubah kaedah pelaksanaan kononnya mahu jimat kos sebanyak RM1 bilion, tapi tak mungkin jadi kenyataan," katanya ketika sidang media, di Membakut, hari ini.

Najib berkata, jika lebuhraya itu siap ia akan memberi kemudahan kepada masyarakat Kimanis dan mereka boleh berulang alik untuk bekerja di Kota Kinabalu.

Oleh itu, Najib meminta pengundi Kimanis memberikan sokongan penuh kepada calon BN sebagai bantahan terhadap tindakan PH.

Recommended