Kesiapsiagaan ATM melahirkan askar pintar

  • 5 years ago
Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentang menggariskan dua peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan peranan utama dan sekunder.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang membentangkan KPP selepas sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat berkata, menerusi KPP itu ATM memainkan peranan utama dalam melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan.

“Peranan sekunder pula ialah melaksanakan operasi ketenteraan selain peperangan, membantu pihak berkuasa awam dalam penguatkuasaan serta sokongan usaha keamanan sejagat melalui panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Beliau menambah, kerajaan berhasrat membangunkan ATM sebagai angkatan bersepadu, tangkas dan berfokus di bawah lima ciri utama iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berorientasikan misi.