‘Bukan semua pesakit kencing manis tak boleh baharui lesen’
  • 4 years ago
Menteri Pengangkutan Anthony Loke menjelaskan pemeriksaan kesihatan untuk pembaharuan Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), bukanlah perkara baru, sebaliknya sudah lama dijalankan.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan oleh Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) tentang mogok besar-besaran oleh pemandu lori di beberapa lokasi bagi membantah pemeriksaan itu yang katanya, menyebabkan pesakit kencing manis dan darah tinggi tidak boleh memperbaharui lesen selama tiga bulan.

Kata Loke, dakwaan itu adalah “dakyah dan fitnah yang tidak tepat,”, kerana bukan semua penghidap kencing manis dan darah tinggi tidak boleh memperbaharui lesen, sebaliknya ia bergantung pada penilaian doktor.

“Kalau doktor kata mereka cukup sihat untuk memandu, tak ada masalah. Itu pengesahan dari doktor, bukan bermaksud sesiapa ada kencing manis atau darah tinggi terus tak boleh memandu. Tak betul.

“Selagi doktor beri pengesahan, bahawa mereka sedang diberi rawatan, ada makan ubat, dan lulus dari segi boleh memandu, tak ada masalah.

“Autoriti yang sahkan tahap keselamatan dan kesihatan itu bukan di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), (tapi) di bawah doktor. Kalau doktor kata boleh, tak ada masalah bagi JPJ untuk perbaharui lesen mereka,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri di Parlimen.
Recommended