Polis tahan pemandu tunjuk 'jari tengah'

  • 5 years ago
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah memberitahu susulan laporan mangsa wanita yang mengandung 7 bulan, polis menjalankan siasatan termasuk meneliti kenderaan digunakan suspek.

“Hasilnya, kita dapat menahan suspek lelaki berusia 27 tahun di sekitar Permas Jaya pada jam 12 tengah hari, semalam.

“Penahanan dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506/509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu tular di Facebook video berdurasi empat minit 28 saat memaparkan seorang pemandu kereta Audi putih menghalang seorang wanita sambil menunjukkan tanda lucah, selain merakam gambar mangsa.

Pemandu Audi putih dikatakan menghalang kereta yang dipandu seorang wanita itu.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi Jumaat lalu dan videonya tular di Facebook hari ini, kedengaran mangsa berusia 26 tahun menangis ketakutan akibat tindakan lelaki itu.

Wanita berkenaan membuat laporan di Balai Polis Johor Jaya pada jam 9.41 pagi, hari sama.