Kanak-kanak terperangkap lubang sempit meninggal dunia

  • 5 years ago
Di Tamil Naidu, India, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terjatuh dalam sebuah lubang sempit pada Jumaat lalu disahkan meninggal dunia.


Pihak penyelamat yang bertungkus-lumus menyelamatkan B Sujith Wilson dilaporkan menghentikan proses penggalian sebaik sahaja mayat mangsa ditemui dalam keadaan reput awal.

Menurut pegawai kerajaan, operasi menyelamat sepatutnya diteruskan namun bau busuk yang timbul dari dalam lubang itu sejak semalam menyebabkan pihak berkuasa mengisytiharkan kematian kanak-kanak tersebut.

Agensi berita melaporkan, mayat mangsa telah dibawa keluar untuk menjalani post-mortem lalu dihantar pulang kepada keluarganya.

Insiden membabitkan B Sujith Wilson itu berlaku berhampiran rumahnya, kira-kira jam 5.30 petang (waktu tempatan) di Nadukattupatti dalam daerah Tiruchirappalli pada Jumaat lalu.

Mangsa terperangkap selama lebih 35 jam pada kedalaman 70 meter dan berisiko untuk jatuh lebih dalam lagi selepas lubang sempit tersebut disaluti lumpur.