Hujan tidak lemahkan semangat peserta
  • 5 tahun lalu
HUJAN lebat berserta ribut petir pada sebelah pagi hari ketiga latihan di Tavullia, Itali, sedikit menghampakan para peserta muda dari empat negara termasuk Malaysia.

Mereka terdiri daripada pelumba negara, Muhammad Alif Ashraf Tahiruddin, 17, dari Yamaha Motor Malaysia; Sawapol Nillapong, 16, dan Suttipat Patchareetorn, 18, (Yamaha Motor Thailand); McKinley Kyle Paz, 18, (Yamaha Motor Filipina) serta Jake LeClair, 18, (Yamaha Motor Kanada).

Kesemua mereka mengikuti program Kem Master VR46 Yamaha edisi kelapan, baru-baru ini.

Trek tanah rata yang ditakungi air menyebabkan latihan lebih tertumpu di dalam kelas dibawah tunjuk ajar pakar litar tanah rata, Marco Belli.

Belli menunjukkan rakaman video dan gambar semasa hari pertama latihan bagi membolehkan mereka memperbaiki kedudukan badan, kawalan pendikit dan gaya tunggangan keseluruhan.

Walau bagaimanapun, nasib menyebelahi kesemua peserta pada sebelah petang apabila hujan berhenti dan trek kering.

Cuaca baik membolehkan mereka meneruskan latihan menggunakan jentera Yamaha YZ250F.

Ternyata prestasi mereka menunjukkan peningkatan berbanding hari-hari sebelumnya.

Sementara itu, Muhammad Alif Ashraf memberitahu, banyak lagi yang perlu dipelajarinya dalam program berkenaan bagi meningkatkan prestasi.

“Saya perlu bersabar dan berlatih, berlatih terus berlatih,” katanya.

Muhammad Alif Ashraf kini menyertai Kelas CP125 dalam Kejohanan Cub Prix Petronas Malaysia dan Kelas Terbuka 250 Kejohanan Superbike Malaysia.