M'sia komited sediakan persekitaran kondusif untuk modal, teknologi asing

  • 5 years ago
Malaysia komited dalam menyediakan persekitaran kondusif untuk menggalakkan aliran masuk modal dan teknologi asing dalam usahanya untuk kekal sebagai pilihan utama pelabur asing, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Malaysia menurut beliau, juga sedar tentang keperluan untuk meningkatkan daya saing industri Malaysia di peringkat global.

Berucap pada sesi meja bulat dengan dewan-dewan perniagaan antarabangsa, bertema "Memperkasakan Tenaga Kerja Malaysia, Memupuk Bakat Masa Depan" di Putrajaya hari ini, perdana menteri mempelawa komuniti perniagaan asing untuk berkongsi pandangan mereka berhubung usaha untuk meningkatkan potensi yang boleh dilakukan negara ini.

"Saya tidak sabar untuk mendengar pandangan anda mengenai bidang yang berpotensi untuk dipertingkatkan, serta bagaimana kami boleh menjalin usaha sama dan persefahaman lebih baik untuk Malaysia terus maju,” katanya.

Sebelum sesi hari ini, Dr Mahathir berkata dewan-dewan perniagaan asing telah diminta memberikan input berhubung beberapa cabaran yang dihadapi ahli mereka apabila menjalankan operasi dan kegiatan peniagaan di Malaysia.

Beliau menegaskan terdapat banyak naratif mengenai Industri 4.0, kecerdasan buatan (AI), inovasi, automasi, Objek Rangkaian Internet (IOT) dan kemajuan teknologi yang lain dan potensi impaknya ke atas semua industri.

"Kita juga mungkin menyatakan dengan pasti bahawa Industri 4.0 akan mengubah jenis pekerjaan yang diperlukan dalam semua sektor pasaran. Adalah penting untuk ambil perhatian, bahawa, walaupun perubahan dan disruptif adalah perkara baharu yang biasa, keperluan kepada bakat dan pembangunannya kekal penting," kata perdana menteri.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menggesa komuniti perniagaan asing untuk membantu dalam memacu daya saing dan inovasi untuk mewujudkan pekerjaan masa depan di Malaysia. - Bernama