'Kerana kita berebut-rebut itulah kita akan hilang kuasa'
  • 5 years ago
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kekuatan Pakatan Harapan, amat bergantung kepada perpaduan dan keutuhan ahlinya.

Beliau berkata untuk itu, semua anggota parti tidak boleh membiarkan diri terganggu dan hilang fokus dengan perkara-perkara sampingan, yang tidak ada nilai sama sekali dengan pembangunan dan hala tuju negara.

"Kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada kita, adalah untuk memperbaiki apa yang telah rosak dan memperbetulkan apa yang salah, tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

"Kita juga perlu bertanya kepada diri kita, apakah kita akan terus mendapat mandat daripada rakyat, jika mereka melihat kita berterusan bertelagah kerana berebut kuasa tanpa sedar, kerana kita berebut-rebut itulah kita akan hilang kuasa," katanya dalam ucapan pada Majlis Temurapat Pimpinan Keadilan Pusat di Port Dickson, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR Anwar Ibrahim serta barisan pimpinan PKR pusat dan negeri.
Recommended