LHDN terima 486,360 kes pengakuan sukarela pembayar cukai

  • 5 years ago
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima sejumlah 486,360 kes pengakuan sukarela pembayar cukai yang menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), sehingga 23 Jun lepas.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah memberitahu Dewan Rakyat bahawa PKPS yang bermula dari 3 Nov tahun lepas sehingga 30 Sept tahun ini, menawarkan penalti yang lebih rendah iaitu antara 10 dan 15 peratus berbanding penalti sehingga 300 peratus di luar tempoh PKPS.

“Pengakuan sukarela yang kita terima sedang diproses oleh LHDN. Jumlah kutipan cukai akan kita umumkan pada akhir tahun,” katanya ketika menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) mengenai rasionalisasi pelaksanaan PKPS dan jumlah pembayar cukai yang telah menyertai skim itu, serta jumlah cukai tambahan yang telah dikutip hasil daripada pelaksanaan skim tersebut.

Katanya antara kategori yang termasuk dalam PKPS ialah melaporkan pendapatan yang belum atau pun kurang dilaporkan, perbelanjaan terlebih tuntut atau pun tidak dibenarkan, pelepasan, potongan rebat terlebih tuntut.