Kumpul produk Milo kenang bapa

  • 5 tahun lalu
PRODUK minuman jenama Milo sangat dekat di hati rakyat Malaysia. Masakan tidak, produk yang berasal dari Australia itu sudah bertapak di negara ini sejak 1950.

Mengambil kira penduduk Malaysia yang merupakan pengguna terbesar produk itu iaitu kira-kira 90 peratus, Nestle (Malaysia) Berhad telah melabur lebih RM100 juta tahun lalu untuk membesarkan kilang Milo yang terletak di Chembong, Negeri Sembilan sekali gus menjadikannya kilang Milo terbesar di dunia.

Justeru, tidak dapat dinafikan sebahagian besar masyarakat negara ini membesar dengan produk Milo. Sudah tentu ia memberikan nostalgia yang pasti tidak dapat dilupakan. Salah seorang yang terkesan dengan pembawaan produk Milo ke dalam budaya masyarakat di negara ini ialah Mohd. Yusof Ali, 40, atau dikenali dengan nama julukan Milo Man.

Mohd. Yusof merupakan pengumpul tegar barangan Milo seperti tin-tin Milo lama, iklan, cenderamata, figura lori dan trak Milo, topi, kasut, cawan, gelas, botol air, alat tulis, baju-T dan banyak lagi. Mula mengumpul secara serius sejak 15 tahun lalu, dia kini memiliki hampir 1,500 koleksi yang dipamerkan di rumahnya di Klang, Selangor.