Sayalah yang buat keputusan

  • 5 years ago
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau sendiri yang memilih Latheefa Koya untuk dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Pengerusi PH itu juga berkata bahawa keputusan itu dibuatnya tanpa berbincang dengan kabinet.

"Saya tidak bincang dengan kabinet.

"Biasanya saya buat keputusan sendiri sebab saya tak perlu minta kebenaran kabinet siapa yang harus saya luluskan," katanya kepada pemberita di rumah terbuka Aidilfitri di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Tambah Dr Mahathir, beliau memilih Latheefa kerana perwatakan peguam itu.

"Sebab dia sangat tegas, dia kata apa yang betul.

"Dia tak berlapik, kita perlukan perwatakan yang tegas," katanya.

Diminta mengulas lanjut proses pelantikan Latheefa, Dr Mahathir berkata, beliau sudah mendengar pendapat pelbagai pihak sebelum membuat keputusan itu.

"Saya dengar pelbagai pihak dan saya buat keputusan.

"[...] Anda perlu dengar pendapat semua orang dan luluskan siapa yang perlu diluluskan. Saya sudah buat ini sekian lama," katanya.

Jelas Dr Mahathir, beliau tidak bertanya kepada menteri kabinet tentang Latheefa, namun sebaliknya kepada pihak lain yang menurutnya mempunyai pengetahuan tentang perwatakan peguam itu.

"Saya tak pernah tanya kabinet, saya tanya orang- orang lain yg mempunyai pengetahuan tentang perwatakan orang-orang ini.

"Dan tak perlu kabinet buat keputusan, kalau kabinet buat keputusan dia mengikatkan saya. Saya bebas untuk nilai siapa yang dicadang dan pilih," katanya.

Latheefa, seorang peguam dan bekas ahli PKR, menggantikan Shukri Abdull, yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.

Pelantikan Latheefa yang diumumkan semalam berkuat kuasa 1 Jun lalu untuk kontrak selama dua tahun.

Bagaimanapun, pelantikan Latheefa dikritik oleh ahli politik dari kalangan PH dan pembangkang serta aktivis yang mempersoalkan peguam itu kerana sebelum ini merupakan ahli PKR dan pernah memegang jawatan dalam parti.


Meskipun Latheefa kemudian mengumumkan bahawa dia sudah keluar dari PKR apabila mendapat tahu akan dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, pengkritiknya masih tidak berpuas hati.

Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen juga mendedahkan bahawa mereka tidak maklum dengan pelantikan itu.

Recommended