K'jaan hapus hutang RM3.8b projek bekalan air negeri

  • 5 years ago
Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menghapuskan pinjaman yang diberi kepada kerajaan negeri bagi projek bekalan air luar bandar pada 2001 dan ke atas, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata pinjaman tersebut adalah berdasarkan baki belum selesai pada 31 Dis 2018 dengan jumlah keseluruhan RM3.8 bilion, yang tertakluk kepada kerajaan negeri untuk memuktamadkan penstrukturan semula bekalan air selewat-lewatnya pada 31 Dis 2019.

Untuk akan datang, beliau berkata projek bekalan air luar bandar tidak lagi dibiayai dalam bentuk pinjaman mudah kerajaan persekutuan tetapi diperuntukkan dalam bentuk geran di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

"Pelaksanaan hapus kira ini diharapkan dapat mempercepatkan penstrukturan semula industri bekalan air dan mengurangkan beban kewangan tahunan negeri serta memastikan faedah berterusan dapat dinikmati rakyat pada jangka masa panjang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada Isnin.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir berkata syarikat operator negeri boleh memfokuskan kepada penambahbaikan kualiti perkhidmatan bekalan air.

Pada mesyuarat hari ini juga, Dr Mahathir berkata kerajaan pusat bersetuju meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk kerajaan-kerajaan negeri mulai tahun ini.

Beliau berkata peruntukan tambahan itu bagi membiayai kadar baharu Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) mulai tahun 2019 bertujuan melindungi kawasan perlindungan hutan dan marin serta membantu negeri-negeri yang berpendapatan rendah melaksanakan program dan projek bagi meningkatkan hasil negeri.

Dr Mahathir berkata mesyuarat juga bersetuju meluluskan pemberian 50 peratus hasil daripada kutipan cukai pelancongan untuk menjadi satu pemberian baru kepada kerajaan negeri mulai tahun ini.

Pemberian separuh hasil kutipan cukai tersebut akan membantu kerajaan negeri menyenggara dan menyediakan kemudahan pelancongan, serta mempromosi dan memasarkan destinasi pelancongan selain menambah baik pelaporan statistik pelancongan, katanya.

Dalam pada itu, katanya dalam meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya kerajaan menambah baik Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian (MARRIS) antaranya dengan memperluaskan perbelanjaan yang dibenarkan untuk membiayai penyenggaraan jalan yang tidak mencapai piawaian minimum Jabatan Kerja Raya dan tidak didaftarkan di dalam Sistem MARRIS online.

Penambahbaikan turut melibatkan perbelanjaan menaik taraf jalan, jambatan, parit, longkang dengan had tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar penyenggaraan tahun sebelumnya atau RM15 juta, yang mana terendah, katanya.

Menurut Perdana Menteri, keputusan mesyuarat hari ini secara langsung telah telah meningkatkan bantuan kepada kerajaan negeri dengan mengambil kira defisit yang dialami kerajaan negeri sekarang.