Esscom akan distruktur semula – Mat Sabu

  • 5 years ago
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) akan distruktur semula bagi mempertingkatkan lagi keselamatan di pantai timur negeri ini, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang berbincang mengenai keputusan itu, termasuk usaha memperoleh peralatan tambahan bagi memantapkan tugas pasukan keselamatan di bawah ESSCom.

Beliau berkata kepada pemberita selepas berucap pada ceramah umum bagi calon DAP Vivian Wong Shir Yee untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan malam tadi.

Mohamad, yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata perintah berkurung yang dilaksanakan di perairan pantai timur Sabah juga akan diteliti dari semasa ke semasa jika perlu diteruskan.

Menurutnya, keselamatan di timur Sabah terkawal dan menyaksikan insiden penculikan untuk wang berkurangan sejak kira-kira tiga tahun lepas. - Bernama