Kerajaan akan terus pantau prestasi ringgit

  • 5 years ago
Kerajaan akan terus memantau prestasi ringgit dalam pasaran mata wang asing berikutan penyusutan nilai unit tempatan itu baru-baru ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Malah, jelas beliau, prestasi ringgit juga sewajarnya dinilai berasaskan unjuran tahunan berbanding harian berikutan turun naik ringgit dalam pasaran harian yang merupakan sesuatu yang biasa berlaku.

"Turun naik ringgit itu adalah perkara biasa. Oleh itu, kita perlu melihat prestasi ringgit bagi tempoh melebihi setahun.

"Jika kita buat (penilaian) berasaskan unjuran harian, ini sebenarnya kurang tepat. Biarlah kita melihat unjuran itu pada akhir tahun," katanya dalam temu bual dengan beberapa media tempatan, termasuk Bernama pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejatuhan nilai ringgit baru-baru ini dan sama ada kerajaan berhasrat untuk melaksanakan campur tangan dari segi polisi bagi mengekang penyusutan nilai mata wang tersebut.