Bantah Statut Rome di jalanan? Kita tak tahu lagi, kata Ismail Sabri
  • 5 years ago
Disoal apakah Umno Selangor akan menganjurkan bantahan Statut Rome di jalanan seperti yang pernah dianjurkan ketika menentang cadangan meratifikasi Perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum ( Icerd) dahulu, Penegrusi Umno Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab ‘tidak tahu lagi’.

Katanya, Icerd lebih jelas menyentuh hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam sementara Statut Rome pula lebih sulit untuk difahami.

“Dari segi kefahaman Statut Rome pun agak kurang jelas. Jadi nak memahami tu agak kurang, berbanding Icerd dulu.

“Jadi itu menyebabkan ramai yang keliru di peringkat awal. Tapi sekarang, setelah dijelaskan oleh peguam-peguam tertentu dalam Umno, akhirnya kita semakin jelas apa kesan menandatangani Statut Rome ni,” tambah Ismail.

Semalam di Parlimen, Ismail yang juga merupakan Ketua Pembangkang memaklumkan pihak pembangkang telah menghantar usul supaya kerajaan menarik diri daripada menjadi ahli Statut Rome.

Katanya, langkah itu diambil memandangkan triti antarabangsa itu dakwanya akan memberi kesan kepada kekebalan Yang di-Pertuan Agong.

Ismail turut berharap agar perkara berhubung Statut Rome akan didebatkan oleh wakil rakyat di Parlimen.

Statut Rome adalah satu triti rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf ICC sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.


Wisma Putra dalam kenyataan 4 Mac berkata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC itu dan surat berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama (4 Mac).

Sehingga 4 Mac, sebanyak 124 negara telah menjadi negara pihak kepada Statut Rome.