SPR umum PRK Parlimen Sandakan 11 Mei

  • 5 years ago
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan akan diadakan pada 11 Mei inidan pengundian awal pada 7 Mei.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya selepas mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK Sandakan, pengerusinya, Azhar Azizan Harun turut mengumumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 April.

Katanya, PRK berkenaan, dijangka membabitkan kos RM3.1 juta, dan akan melibatkan 39,856 pengundi biasa, 270 pengundi awal dan lima orang pengundi tidak hadir luar negara.

Beliau berkata seramai 770 petugas dilantik bagi mengendalikan PRK itu dan 21 buah pusat mengundi dengan 92 saluran akan digunakan pada PRK berkenaan.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong berikutan kematian penyandangnya Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, pada 28 Mac lalu di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.


Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Wong memenangi kerusi P186 Sandakan itu dengan majoriti 10,098 undi selepas memperoleh 19,094 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Lim Ming Ho yang mendapat 8,996 undi.