Azmin- Laporan CEP tak libatkan keselamatan negara
  • 5 years ago
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) tidak melibatkan keselematan negara.

Sebaliknya, jelas Azmin, laporan itu hanya mengandungi cadangan yang dibuat CEP berhubung langkah yang boleh diambil kerajaan bagi memajukan ekonomi Malaysia.

"Ia tidak melibatkan keselamatan negara," kata Azmin ketika ditemui pemberita semasa mengunjungi mangsa ribut taufan di Gombak petang ini.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin dalam Dewan Rakyat berkata laporan CEP akan kekal di bawah OSA untuk melindungi maklumat sulit di dalamnya.

Hanipa berkata demikian sebagai menjawab soalan Wong Kah Woh (PH - Ipoh Timur) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat menjadikan laporan CEP sebagai dokumen awam.

Sementara itu, Azmin berkata beliau tak pasti sama ada dokumen itu ketika ini di bawah OSA atau tidak.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi mengulangi bahawa peranan CEP adalah bagi memberi cadangan dan mengkaji semua usul untuk perdana menteri.

"Tugas CEP adalah untuk memberi cadangan dan mengkaji semua usul.

"Itu yang mereka buat tahun lalu, dan mereka sudah serahkan laporan penuh kepada perdana menteri. Dari semasa ke semasa, perdana menteri akan membentangkan cadangan ini di kabinet dan kita akan bincangkan.

"Ada beberapa cadangan yang kita akan pertimbangkan dan ada yang perlu dikaji lebih lanjut, dan ini perkara biasa," katanya.
Recommended