Khairy nakal - kereta terbang dalam semakan NAP untuk tujuan perancangan

  • 5 years ago
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming hari ini menjelaskan rujukan kepada "kenderaan terbang" dalam dokumen kajian Dasar Kebangsaan Automotif (NAP) bertujuan mengundang perbincangan mengenai piawaian dan peraturan sekiranya industri automotif negara mahu menggunakan teknologi sedemikian pada masa hadapan.

Beliau menegaskan bahawa ini tidak ada kaitan dengan projek kereta kebangsaan ketiga ataupun ia akan menjadi kereta terbang.

Ong mengulas ciapan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang menghantar dokumen semakan itu di Twitter dan bertanya "Serius ke?" Ong menganggap ciapan Twitter Khairy itu sebagai "nakal".

“Adalah amat malang bahawa Anggota Parlimen (MP) Rembau Khairy Jamaluddin memilih untuk mengetengahkan satu rujukan kecil kepada teknologi khusus (bagi tujuan penetapan piawaian) dalam dokumen perbincangan, daripada memberikan perhatian terhadap cabaran lebih besar yang dihadapi, iaitu bagaimana untuk membangunkan dan mengembangkan seluruh landskap automotif di Malaysia.

“MITI terbuka untuk menimbangkan sebarang cadangan konkrit daripada MP Rembau mengenai sektor automotif,” katanya dalam kenyataan bagi menjawab ciapan Khairy di Twitter mengenai dokumen semakan semula NAP berhubung “kenderaan terbang”.

Ong berkata demikian pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau turut menjelaskan suntikan dana sebanyak RM8 juta yang telah disalurkan untuk projek kereta nasional ketiga bukan untuk menghasilkan prototaip kereta terbang.

Malah Ong berkata, tidak disebut mengenai kereta terbang dalam projek kereta nasional berdasarkan dasar automotif yang dikaji.

“Saya raya perkara ini sesuatu yang perlu diperjelaskan. Ia (RM8 juta) digunakan untuk pembangunan prototaip.

“Sepanjang pengetahuan saya, prototaip tersebut tidak membabitkan kereta terbang,” katanya.

Pada Januari lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof mengumumkan peruntukan sehingga RM20 juta bagi membangunkan prototaip projek kereta nasional ketiga.

Komitmen Mohd Redzuan terhadap kereta terbang membuatkan ramai pihak menganggap projek kereta nasional itu adalah bagi menghasilkan kereta terbang.