Clare cabar Hadi dedah syarat sulit selesai saman

  • 5 years ago
Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown mencabar Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk mendedahkan syarat-syarat sulit terhadap penyelesaian kes saman fitnah di luar mahkamah pada awal Februari lalu.

Ini selepas Hadi menafikan membayar RM1.4 juta kepada Clare, untuk menyelesaikan saman fitnah terhadap editor Sarawak Report itu.

Rewcastle-Brown berkata demikian kepada Malaysiakini malam tadi.

Selanjutnya, Clare menjelaskan memiliki dokumen untuk membuktikan beliau telah dibayar RM1.4 juta, dan yakin ia dibayar bagi pihak Hadi dan PAS.

Semalam, Hadi berkata beliau atau PAS tidak pernah melunaskan sebarang bayaran kepada Rewcastle-Brown, kerana pihaknya tidak mempunyai wang yang banyak untuk membuat pembayaran.

Hadi juga mendakwa bahawa "beberapa pihak" telah menghubungi beliau sebelum PRU14 untuk menyelesaikan saman berkenaan, tetapi beliau enggan melakukannya pada masa itu kerana faktor pilihan raya.

Editor Sarawak Report sebelum ini mengatakan pembayaran dibuat oleh perantara dan malam tadi mengesahkan orangnya ialah Pengerusi KTMB Rameli Musa.

Clare berkata beliau tidak ragu-ragu bahawa Rameli bertindak bagi pihak Hadi dan PAS.Hal ini, katanya kerana Rameli perlu sentiasa berhubung untuk mendapat kebenaran daripada PAS dan Hadi selepas menolak tawaran awal parti itu untuk membayar GB£100,000 untuk menyelesaikan saman itu.

Beliau menjelaskan peguam Hadi di London juga telah menerima pembayaran sulit itu kerana mereka perlu membuat perjanjian penyelesaian untuk mahkamah.