Salahuddin menangis ketika baca surat Wak Ibas

  • 5 years ago
Seorang petani warga emas dari Sungai Besar berjaya membuatkan air mata menteri pertanian tumpah, melalui sepucuk surat berkaitan keluh kesah golongan itu.

Ibas Hamud atau lebih mesra dengan panggilan Wak Ibas menyerahkan surat itu sebagai gimik pelancaran dalam majlis pelancaran hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Serdang hari ini.

Dari atas pentas, menterinya Salahuddin Ayub membacakan surat itu kepada umum.

Ibas, 77, yang hadir dengan kemeja biru lengan panjang dan keluar khaki kelabu, berada di sebelahnya.

Bagaimanapun suara Salahuddin kemudian tersekat-sekat dan tidak dapat menahan perasaan.

Isteri Salahuddin, Fatimah Taha, turut menenangkan beliau dengan menepuk- nepuk bahunya, sambil beliau sendiri mengesat air matanya dengan tisu.

Surat itu antara lain meluahkan kebimbangan petani dan nelayan dengan pemotongan elaun sara diri.

Salahuddin bagaimanapun selepas itu berjanji akan memastikan golongan petani dan nelayan terus dibantu.

Beliau kemudian menjemput Wak Ibas minum kopi.

Suasana muram kembali ceria selepas Salahuddin meminta maaf kepada Wak Ibas kerana tidak menyediakan kuih-muih, menyebabkan orang ramai ketawa.

Ibas ialah anggota Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar.