Calon BN dakwa timbalan menteri sekat kenderaannya

  • 5 years ago
Calon BN bagi PRK Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor hari ini membuat dua laporan polis, termasuk terhadap seorang timbalan menteri kerana didakwa mengganggu kempennya.

Dalam laporan pertama, pesara polis berusia 60 tahun itu mendakwa Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menghentikan kenderaan yang dinaikinya dan pembantu selepas berkempen di sekitar Pos Lenjang dan Pos Titom di sana, kira-kira pukul enam petang semalam.

"Kami disekat di pertengahan jalan oleh seorang lelaki yang berdiri di tengah jalan. Apabila kami berhenti, kami disapa secara agresif dengan nada kasar meminta kami menyerahkan telefon bimbit salah seorang pembantu saya.

"Bagi meredakan keadaan saya turun daripada kenderaan dan saya menyedari lelaki tersebut ialah Tengku Zulpuri.

"Berlaku provokasi di mana beliau (Tengku Zulpuri) memanjat kenderaan saya dengan tujuan merampas telefon bimbit pembantu saya. Beliau turut mengeluarkan kata-kata secara kasar terhadap penumpang dan pemandu," dakwa Ramli dalam laporan polis itu.

Laporan polis kedua Ramli pula berkaitan dakwaan penyalahgunaan sumber kerajaan, iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan Pahang, yang menurutnya digunakan dalam kempen.

Kedua-dua laporan dibuat di balai polis Sungai Koyan.

Semalam sebuah kenderaan yang memaparkan bendera Pakatan Harapan (PH) tular di media sosial. Ia mencetuskan persoalan sama ada PH menggunakan kenderaan milik kerajaan untuk tujuan politik.

Kerajaan Pahang kemudian mengesahkan kenderaan itu milik jabatan perhutanan dan mendesak ia dikembalikan.

Pada masa ini, Malaysiakini masih belum mendapat maklum balas Tengku Zulpuri. Difahamkan beliau kini berada di perkampungan Orang Asli di Kuala Lipis, yang mempunyai liputan komunikasi yang terhad.

(Kredit video tular di media sosial)