Utusan lapor Dr M kata 'DAP tentukan pemimpin' tidak tepat - PMO
  • 5 years ago
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyangkal laporan Utusan Malaysia berhubung ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Terengganu pada 8 Januari lalu, tidak tepat.

Dalam satu kenyataan, PMO menafikan laporan dua perenggan dalam akhbar itu, yang diterbit semalam.

Kata perenggan pertama "DAP tentukan siapa pemimpin dan siapa akan pegang jawatan selepas berjaya ambil alih kerajaan, semuanya ini datang daripada DAP".

Menurut PMO, Dr Mahathir tidak ada menyebut “DAP tentukan siapa pemimpin...”.

Dalam perenggan kedua “Saya tahu ada pendapat mengatakan DAP parti musuh, tapi saya nak bagitahu bahawa yang tentukan saya akan jadi Pengerusi PH dan bakal PM (Perdana Menteri) jika menang dalam PRU (Pilihan Raya Umum) lalu adalah DAP”.

Menurut PMO lagi, apa yang sebenarnya diucapkan oleh Dr Mahathir adalah “Saya tahu ada orang yang berpendapat bahawa parti DAP ini parti musuh, musuh orang Melayu. Semua orang Melayu dibagitahu oleh UMNO bahawa parti DAP ini adalah musuh. Tapi saya nak bagitahu yang cadang saya jadi Pengerusi dan saya jadi bakal Perdana Menteri kalau menang adalah DAP”.

Dr Mahathir berucap ketika merasmikan Ibu pejabat Bersatu Negeri Terengganu di Ladang Tok Pelam, Isnin lalu.

Berikut adalah petikan ucapan oleh Dr Mahathir.
Recommended