'Terkutuk dan keji!' - Timb Menteri pecat pegawai 'kantoi' rakam bawah skirt wanita

  • 6 years ago
Hanya beberapa jam selepas dilaporkan media, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman memecat pegawainya yang didakwa merakam dari bawah skirt seorang wanita.

Dalam kenyataan di Facebook, Azis mengesahkan bahawa lelaki yang dilihat dalam rakaman video litar tertutup (CCTV) yang kini tular di media sosial itu adalah pegawainya.

Azis menegaskan dia memandang serius tindakan individu itu dan menjelaskan bahawa ia dilakukan tanpa disedarinya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan seorang staf wanita kedai cermin mata membuat laporan polis terhadap lelaki yang merakam dari bawah skirtnya.

Dalam sebuah klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bertarikh 8 September 2018 di sebuah kedai cermin mata, seorang wanita dilihat sedang memeriksa mata Azis dengan seorang lelaki lain duduk di belakang wanita itu.

Lelaki yang mengiringi Azis itu kemudian dilihat menggunakan telefon bimbitnya seakan membuat rakaman dari bawah skirt wanita berkenaan.

Insiden berkenaan dikatakan terjadi di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Recommended