Hasil SST dan kutipan sebenar GST tak banyak beza - Dr M
  • 6 years ago
Tidak terdapat perbezaan ketara di antara hasil kerajaan daripada SST dan kutipan sebenar GST, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata tabung bayaran balik GST memberi gambaran seolah-olahnya GST dapat menjana lebih banyak wang untuk kerajaan.

"Pendapatan GST itu tidak seperti angka yang disebut oleh kerajaan yang dahulu. Katanya mereka dapat kumpul sehingga 40 billion ringgit GST, tetapi kita dapati bahawa sebahagian daripada wang itu perlu diberi balik kepada mereka yang bayar cukai kerana kita tak boleh kutip cukai dua kali.

"Dengan itu, jumlah SST dengan jumlah yang benar GST tak ada banyak beza. Kita dapati bahawa memadai kalau kita perkenal SST kerana bukanlah GST begitu besar kutipannya sehingga rakyat berasa tertekan,” kata beliau dalam wawancara yang disiarkan di TV1 hari ini.

Dr Mahathir berkata SST hanya dibayar sekali sahaja berbanding GST.

"Dengan itu, nampak seolah-olah GST itu mengumpul wang yang banyak. SST tak demikian.

"SST dibayar hanya sekali sahaja, tidak berkali-kali. Jadi tak perlu kita balik cukai yang berlebihan yang dikutip," katanya.