Zakir Naik ucap terima kasih pada Dr M
  • 6 years ago
Pendakwah bebas Dr Zakir Naik mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, terutama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana membenarkannya terus berada di negara ini di sebalik tekanan beberapa pihak.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata keputusan itu menguatkan kepercayaannya terhadap keadilan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan beliau merasa rendah diri kerana dapat menjadi sebahagian daripadanya.

Zakir sekali lagi menafikan ada membuat sesuatu yang "mencetuskan kenganasan dan kebencian" sepanjang 25 tahun sebagai pendakwah.

Mendakwa tuduhan itu dicetuskan golongan yang mahu menjejaskan imejnya, beliau berkata serangan itu biasanya dalam bentuk keratan rakaman dan imej serta kata-katanya yang diambil di luar konteks.

Zakir didakwa terbabit dengan serangan pengganas di Dhaka serta pengubahan wang haram.

Kerajaan India telah membatalkan pasportnya setelah beliau tidak mengendahkan permintaan untuk hadir di Badan Penyiasat Kebangsaan India untuk membantu siasatan.

Pada 6 Julai lalu, Mahathir berkata kerajaan tidak akan mengusir Zakir yang berstatus penduduk tetap - kini dikehendaki kerajaan India - selagi beliau tidak menimbulkan masalah.

Semalam, Mahathir juga berkata tidak akan tunduk kepada desakan pihak yang mahu kerajaan menghantarnya pulang ke India kerana ia memerlukan pertimbangan banyak faktor, termasuk undang-undang.