Kumpulan Utusan rai warga emas
  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-59, Yayasan Kumpulan Utusan menganjurkan majlis Sentuhan Kasih Merdeka demi menghargai jasa dan pengorbanan warga emas. Majlis yang dianjurkan de­ngan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat akhbar Melayu berpengaruh itu. Majlis yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh kekeluargaan itu bermula pada pukul 2.30 sehingga 5 petang dengan dihadiri lebih 300 warga emas dari kawasan Cheras Baru, Kampung Batu, Seputeh, Puchong, Bandar Kinrara, Subang dan Serdang serta ibu bapa kakitangan syarikat. Beberapa kakitangan syarikat turut mengenakan pakaian pasukan keselamatan pada zaman era menuntut kemerdekaan sepanjang majlis itu berlangsung bagi menyambut dan melayan tetamu istimewa tersebut. Yang hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor; Pengarah Eksekutif Yayasan Kum­pulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesh; Pengurus Jabatan Pe­ngarang, Ainol Amriz Ismail; Pe­ngarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah dan ahli-ahli Kelab Vete­ran Utusan Malaysia (KVUM). Turut serta para sukarelawan JKM yang mengiringi warga emas. Majlis yang dihoskan oleh juruhebah radio terkenal, DJ Lin itu diserikan dengan persembahan nyanyian daripada Raja Gelek, Datuk M. Daud Kilau dan persembahan kumpulan Panca Delima dan Ala Kadar. Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi turut menghiburkan tetamu dengan nyanyian lagu Allahyarham Sudirman Arshad berjudul Ayah dan Ibu. Program itu turut mendapat tajaan daripada Jakel Trading Sdn. Bhd; Ariani Textiles Manufactu­ring (M) Sdn. Bhd; Institut Jantung Negara (IJN); Free For All; Bank Islam Berhad (BIMB); Alfio Raldo; Adabi Consumer; Osra Boutique; Pusat Pungutan Zakat (PPZ); Perbadanan Nasional Berhad (PNB); Am Meditech (M) Sdn. Bhd. dan Safety Driving Centre. Sebelum ini, Yayasan Kumpulan Utusan pernah meraikan mangsa bencana bah ku­ning di Kampung Manek Urai, Kelantan dan program Anyaman Kasih bersama Orang Asli Taman Desa Kemandol, Kuala Langat, Selangor.