Pemandu Uber, GrabCar perlu ada lesen PSV - PPIM

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 24 Mei - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan menguatkuasakan segera peraturan mewajibkan pemandu Uber dan GrabCar memiliki lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).
Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu penting supaya kerajaan dapat mengawal dan mengambil tindakan ke atas pemandu jika berlaku pelanggaran undang-undang.
“Uber dan GrabCar juga perlu mempunyai label tertentu agar ia dapat dikenali sebagai satu industri, sebagai contoh menggunakan pelekat U pada kereta agar ia diketahui umum,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Nadzim berkata, syarat yang jelas bukan sahaja dapat melindungi penumpang tetapi boleh membawa manfaat kepada industri teksi serta menjaga kepentingan pemandu teksi yang lain.
Tambahnya, Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga perlu dikuatkuasakan kepada pemandu Uber dan GrabCar sama seperti yang dikenakan terhadap pemandu teksi sedia ada. - UTUSAN ONLINE