Hati Mojo tersentuh di Rumah Al-Ikhlas

  • 6 tahun lalu
PUCHONG - Bukan gimik tetapi hati kecil kesemua anggota kumpulan Mojo tersentuh ketika melawat penghuni di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al- Ikhlas, Pulau Meranti yang terdiri daripada warga emas.

Lawatan Mojo ke rumah kebajikan tersebut yang juga dikenali sebagai Titian Kasih, diketuai oleh Edry Abdul Halim, Denny, Jojar dan vokalis baharu Mojo, Ryan.

Menurut Edry, idea untuk melawat penghuni di rumah kebajikan yang menempatkan lebih 40 orang itu terbit setelah Mojo menghasilkan single baharu mereka berjudul Dasyhat.

"Lirik lagu ini cenderung ke arah perasaan warga emas yang berada di rumah kebajikan. Rata-rata, mereka yang berlindung di situ dipinggirkan dan disisihkan oleh ahli keluarga mereka. Tetapi bukan semualah kerana ada pelbagai cerita lain mengapa warga emas ini menginap di situ," katanya.

Selain daripada Mojo, turut serta melawat penghuni di situ ialah dua kelab permotoran, Sagat Crew Ladies Motorsport dan Proton Satria Motorsport (Prosat).

Ternyata lawatan tetamu selebriti yang tidak diduga itu menghiburkan hati para penghuni. Dari riak wajah mereka, sapaan dan sentuhan mesra Mojo dan para ahli dua kelab permotoran itu disambut baik dan disulami genangan air mata.

Di minda para penghuni pelbagai peringkat usia pasti merasakan diri mereka diingati oleh golongan muda biarpun tiada pertalian darah sebaliknya atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan.

Apa kata anda tonton video lawatan Mojo ke Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE