HLAG beri pendedahan berguna kepada Nur Amira

  • 6 tahun lalu
BUKIT MERTAJAM 8 Mei - Gagal pada pertandingan Hit Like A Girl (HLAG) sedikit pun tidak melemahkan semangat pemain dram cilik, Nur Amira Syahira Azizul Abidin.

Sebaliknya pertandingan itu telah memberikan pendedahan yang berguna kepada dia yang menjadi peserta tunggal negara pada pertandingan dram khusus untuk perempuan itu.

Nur Amira, 12, berkata, keputusan HLAG yang diumumkan awal pagi ini yang disiar secara langsung menerusi laman web Drumchannel.com membakar semangatnya untuk berusaha lebih gigih dan meningkatkan kemahiran.

“Insya Allah, Mira akan berusaha lebih gigih selepas ini dan akan masuk sekali lagi pertandingan ini pada masa depan.

“Juara dari Indonesia itu memang hebat dan pukulannya pantas. Dia memang layak menang,” katanya kepada Utusan Online, ketika ditemui selepas menyaksikan pengumuman keputusan HLAG menerusi internet, di studionya di sini hari ini.


Hadir sama ibu dan bapanya, Asma Zainol dan Azizul Abidin Mohammed Padzil serta beberapa ahli keluarga yang lain.

HLAG mengumpulkan para pemain dram perempuan dari seluruh dunia dan 10 peserta dari setiap kategori iaitu 18 tahun ke atas dan bawah 18 tahun, akan dinilai oleh juri profesional.


Juara Kategori Bawah 18 Tahun dimenangi oleh Kalonica Nicx dari Indonesia manakala Kategori 18 Tahun Ke Atas menjadi milik Lindsay Artkoop dari Amerika Syarikat.

Nur Amira yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) September ini berkata, dia juga akan mencari beberapa lagi pertandingan lain untuk disertai bagi mengembangkan bakatnya.


Sementara itu Asma berkata, memasuki pusingan akhir HLAG sudah dianggap satu kejayaan buat Nur Amira yang merupakan satu-satunya peserta dari Malaysia.

"Sekurang-kurangnya dia sudah mencuba. Masuk pusingan akhir sudah bersyukur sangat," katanya yang tidak jemu-jemu berusaha memenuhi impian anaknya itu.


Menurutnya, jadual Nur Amira untuk bulan ini dan bulan depan agak padat dengan undangan termasuk untuk Festival Hari Guru pada 15 Mei ini di Alor Setar, Kedah.

Katanya, pada bulan Julai dan Ogos, aktiviti dram Nur Amira dikurangkan bagi membolehkannya menumpukan perhatian kepada UPSR yang akan diduduki. -UTUSAN ONLINE