Ali XPDCVSix ajak semua rockers tonton konsert

  • 6 tahun lalu
Oleh HASNURUL MOHAMED

KUALA LUMPUR - Vokalis kumpulan XPDCVSix, Ali mengajak semua rockers agar memeriahkan Konsert Festival Rock Malaysia 2012 yang akan diadakan di Equestrian Bukit Kiara pada Sabtu ini, 20 Oktober.

Kata Ali, adalah satu kerugian kepada peminat rock yang tidak dapat hadir pada hari tersebut kerana buat julung kalinya, lima kumpulan rock otai tanah air dihimpunkan untuk memberi satu persembahan hebat kepada peminat.

"Bermula pada pukul 6 petang Sabtu ini, lima kumpulan rock iaitu Lefhanded, Wings, May, Rusty Blade dan XPDCVSix akan membuat persembahan secara bergilir-gilir untuk menghiburkan peminat semua sehingga pukul 12 tengah malam.

"Tiket tak sampai RM100 dijual dan kalau tak datang menyaksikan konsert ini, memanglah rugi," kata Ali yang turut memberitahu, pada hari konsert itu nanti, terdapat petak atau Rock Zone yang membolehkan peminat menari hampir dengan pentas persembahan.

Perbualan bersama Ali seterusnya dapat diikuti menerusi temubual video ketika beliau hadir ke pejabat Utusan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin di sini untuk menjayakan segmen Jom Chat dengan Ali di Utusan Online, baru-baru ini. - UTUSAN