Bagitahu saya parti mana yang tidak berdasarkan kaum? soal Ku Li

  • 6 years ago
Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah tidak bersetuju dengan cadangan agar Umno membuka parti itu kepada orang bukan Melayu seperti dikemukakan beberapa pemimpinnya berikutan kekalahan BN pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Beliau berkata sentimen di peringkat akar umbi sangat kuat agar Umno menjadi sebuah parti eksklusif Melayu.

"Kamu boleh menambah satu atau dua orang bukan Melayu seperti yang dilakukan oleh sesetengah parti dan menjadikannya sebagai parti berbilang kaum, tetapi wajahnya masih tidak berbilang kaum.

"Saya boleh mengatakan bahawa saya seorang yang multiracial kerana saya pernah mempunyai isteri bukan Melayu, tetapi saya tidak multiracial dalam erti kata itu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Lumpur semalam.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebelum ini mencadangkan agar Umno mempertimbangkan untuk membuka keahliannya kepada semua rakyat Malaysia.