'Saya bukan boneka Anwar' - Wan Azizah
  • 6 years ago
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismai se​ring dilihat sebagai individu​ yang ​dibayangi suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika Anwar dipenjara, wanita berusia 65 tahun itu menggalas pelbagai tugas termasuk menjadi presiden ​PKR ​dan ketua pembangkang.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Wan Azizah turut menegaskan bahawa beliau kini bukan hanya sekadar 'pemanas kerusi'.

"Saya ada ditanya sama ada saya ini hanya 'seat warmer' atau pemanas kerusi. Saya angkat sumpah sebagai timbalan perdana menteri bukan (sebagai) pemanas kerusi," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya.

Selepas dilantik menjadi timbalan perdana menteri, Wan Azizah dengan tegas memberitahu beliau bukan boneka politik.

Meskipun mengakui ada melakukan perbincangan dengan suaminya itu, namun Wan Azizah berkata ia turut dilakukan bersama anggota Pakatan Harapan (HARAPAN) yang lain.

"Saya bukan boneka. Memanglah saya ada berbincang (bersama Anwar), bohonglah kalau saya cakap tak berbincang.

"(Tetapi) saya berbincang juga dengan sahabat-sahabat yang lain seperti Rafizi Ramli, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu...," katanya lagi.