89 pelancong terkandas dalam kereta kabel Langkawi selamat
  • 6 years ago
Lapan puluh sembilan daripada lebih 500 pelancong yang terkandas selepas kereta kabel Langkawi SkyCab mengalami masalah teknikal petang semalam selamat tiba di stesen di Oriental Village di Langkawi kira-kira 9.30 malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin berkata 89 pelancong itu terkandas dalam kereta kabel apabila sistem mengalami kerosakan kira-kira 5.48 petang.

Memetik Bernama, tiga lagi kereta kabel membawa 18 pelancong sedang bergerak ke bawah selepas tersangkut kira-kira empat jam antara “middle station” dan base station.”

Beliau berkata pasukan teknikal Panorama Langkawi Sdn Bhd, anak syarikat LADA dan pengendali sistem kereta kabel itu, terpaksa menggunakan usaha secara manual untuk menggerakkan sistem bagi kereta kabel tersebut turun ke base station.

Azizan berkata setakat pukul 10 malam, kira-kira 200 pelancong masih terkandas di middle station, yang terletak kira-kira 650 meter dari paras laut dan 300 lagi terkandas di upper station, kira-kira 708 meter dari paras laut.