Aisberg di Antartika retak, hanyut

  • 7 years ago
Pemisahan bongkah ais gergasi seberat satu bilion tan di Antartika, menimbulkan kegusaran di kalangan kumpulan pencinta alam sekitar, Greenpeace Chile.

Malah, pemisahan bongkah ais gergasi yang berlaku semalam itu disifatkan kumpulan berkenaan sebagai krisis iklim paling serius pernah berlaku.

Greenpeace-Chile dalam satu kenyataan berkata bongkah ais berukuran 5,800 kilometer persegi itu tidak akan menyebabkan peningkatan paras air laut memandangkan ia telah berada di dalam air sejak berbulan yang lalu apabila ia mula pecah dan terpisah.  

Menurut kumpulan itu, walaupun punca pemisahan bongkah ais itu masih belum dapat dipastikan, ia akan meletakkan Antartika dalam kedudukan lebih terdedah kepada bahaya. 

"Berikutan apa yang berlaku ini, kesan terhadap perubahan iklim dunia tidak dapat dielakkan. Apa yang berlaku di 'benua putih' ini perlu dianggap sebagai amaran awal (perubahan iklim dunia) berpunca daripada pemanasan global," kata Pengarah Greenpeace Chile Matias Asun.

Jelas Asun, pemisahan bongkah gergasi ini akan mengakibatkan Antartika lebih berisiko terhadap insiden sama pada masa hadapan.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada suhu angin. Angin di kawasan ini lebih panas, malah, sejak 50 tahun lepas, suhu di kawasan ini telah meningkat sebanyak 3 darjah," katanya. 

Rekahan yang bermula di bahagian utara rak ais Larsen C di Antartika menyebabkan pemisahan bongkah ais paling besar pernah direkodkan setakat ini, katanya. 

Menurut saintis, bongkahan ais itu antara 10 bongkah paling besar yang didaftarkan. Keluasan permukaannya menyamai satu pertiga keluasan wilayah Santiago (15,403 kilometer persegi).

Apa yang berlaku di Antartika menunjukkan betapa pentingnya terma Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim dipatuhi, tegas Asun, yang menggesa semua pihak menghentikan segera aktiviti yang menyumbang kepada pemanasan global.

Category

🗞
News

Recommended