Yayasan Hak Asasi Manusia gesa Agong bebaskan Anwar
  • 7 years ago
Kumpulan advokasi Hak Asasi Manusia - Human Right Foundation (HRF) - telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, menggesa baginda supaya membebaskan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NGO yang berpangkalan di New York itu mendakwa terdapat campurtangan politik dalam kes Liwat 11 terhadap Anwar, dengan memetik tuduhan yang pendakwa utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah dibayar RM9.5 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mereka berkata Shafee masih belum menafikan dakwaan terhadapnya.

Surat itu ditandatangani oleh presiden HRF Thor Halvorssen, dan pengerusinya Garry Kasparov.

Putrajaya, dalam langkah mengejutkan pada 22 Julai 2013, melantik Shafee untuk mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Anwar di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membebaskan Anwar, dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan sabitan terhadap Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Sarawak Report sebelum ini mendakwa Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib dalam dua bayaran pada 11 September 2013 dan pada 17 Februari 2014.

Shafee pada 9 Jun berkata beliau akan membuat kenyataan mengenai perkara itu tetapi sejak itu masih belum berbuat demikian.

Kerajaan telah memberitahu Parlimen bahawa Shafee dibayar RM1,000 untuk bertindak sebagai pendakwa utama dalam kes Anwar.