Real Madrid merangkul kejuaraan La Liga buat kali ke-33 dan yang pertama dalam tempoh lima tahun ketika Cristiano Ronaldo melakar gol ke-40 musim ini selepas pasukannya menang 2-0 ke atas Malaga, awal pagi tadi.
Ronaldo memastikan Madrid memulakan perlawanan dengan sempurna apabila meledak gol seawal minit kedua sebelum Karim Benzema menyempurnakan percubaan jarak dekat di separuh masa kedua, ketika perlawanan baru memasuki 10 minit.
Madrid mengetepikan cabaran Barcelona di takhta liga dengan perbezaan tiga mata selepas pasukan itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Eibar 4-2 dalam perlawanan terakhir Luis Enrique di laman sendiri - dan perlu bertanggungjawab kerana gagal meraih gelaran liga ketiga berturut-turut.
"Ia adalah hari paling menggembirakan buat saya dalam bidang profesional.
"Saya mempunyai pengalaman sebagai pemain dan sebab itu saya mengatakan ia adalah hari yang menggembirakan buat saya dalam kehidupan profesional kerana sebagai jurulatih, ia mengubah segala-galanya.
"Saya sudah memenangi segala-galanya dengan kelab ini, namun menjuarai La Liga adalah yang terbaik," kata pengurus Madrid, Zinedine Zidane.
Dalam aksi pagi tadi, Real hanya memerlukan satu mata untuk memastikan gelaran itu dan kegusaran berkenaan hanya lenyap dalam masa beberapa saat sebaik perlawanan bermula.