Najip, Mediacorp minta maaf pada Najib

  • 7 years ago
Pengacara terkenal dari Singapura, Najip Ali, hari ini tampil meminta maaf selepas program disertainya, OK Chope!, menimbulkan kemarahan sesetengah pihak di negara ini.

Najip turut menyatakan kekesalan terhadap sikapnya ketika menyertai rancangan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelanggan Mediacorp Singapura, Debra Soon, turut membuat permohonan maaf atas program berkenaan yang disiarkan pada minggu lalu.

“Channel 5 dan kru produksi OK Chope! memohon maaf dengan seikhlas hati kepada Perdana Menteri Malaysia Najib Razak atas segmen disiarkan pada episod minggu lepas.

“OK Chope! adalah rancangan lintas langsung secara mingguan memaparkan pelawak yang mengetengahkan bahan jenaka berdasarkan isu semasa.

“Episod minggu lalu menggunakan rujukan Perdana Menteri Malaysia dilihat sebagai sesuatu kurang sensitif dan menjelikkan.

“Lantaran, kami telah menarik episod itu dari diulang tayang dengan kadar segera. Kami memohon maaf bagi kesilapan ini,” katanya.

Semalam, Persatuan Seniman Malaysia mendesak penerbit rancangan OK Chope! memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak, kerana berpendapat perdana menteri telah dijadikan bahan jenaka.

Seniman turut berjanji membuat laporan polis terhadap lima selebriti yang muncul dalam episod ke-26 rancangan berkenaan sekiranya tiada permohonan maaf dikemukakan.

Selain Najip, selebriti yang terlibat dalam program minggu lalu ialah Mike Kasem, Rishi Budhrani dan Sam See, manakala Vernetta Lopez menjadi hos.

Najip sering berulang-alik ke Malaysia kerana menjadi juri tetap program Maharaja Lawak Mega terbitan Astro.

Pada program berkenaan, perserta diperlihatkan satu imej memaparkan tajuk berita dengan salah satu perkataannya dipadam. Mereka kemudian diminta meneka perkataan yang dipadamkan itu.

Recommended