Gobind boleh hilang 40% pengundi Melayu jika tak sokong RUU355
  • 7 years ago
Sekumpulan individu mendakwa mewakili 500 NGO berbaju seperti warna tema pada perhimpunan PAS, menghantar memorandum kepada Gobind Singh Deo supaya hati ahli parlimen Puchong itu terbuka terhadap Islam dan sekali gus menyokong pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Mereka membawa beberapa sepanduk, antaranya berbunyi 'Umat Islam Puchong Tolak Gobind Singh'.

Selepas mendengar ucapan di Masjid Al Husna, kumpulan itu kemudian menuju ke pejabat pusat khidmat Gobind, kira-kira empat kilometer di Bandar Puchong Jaya.

Di sana, pengerusi Himpunan Ummah, Aminuddin Yahaya menyerahkan memorandum itu kepada pembantu Gobind, Tawfiq Azraie.

"Jika beliau tidak menyokong pindaan Akta 355, maka undi umat Islam kepada beliau akan hilang," kata Aminuddin kepada Tawfiq.

Tawfiq memberitahu pemberita bahawa Gobind sedar memorandum itu telah dihantar kepadanya.

Dalam satu kenyataan, Gobind berkata beliau menghormati kumpulan itu yang menghantar memorandum kepadanya itu dan berkata, beliau menerima dan menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

Katnya, orang Islam dan orang bukan Islam mempunyai pandangan yang berbeza mengenai pindaan itu dan beliau berpegang teguh menentangnya.

"Saya akan berikan sebab-sebab saya secara terperinci apabila usul itu dibahaskan di Parlimen," kata Gobind.
Recommended