Saya bersimpati dengan PH diaibkan dengan abu mayat Chin Peng - Zahid
  • 4 years ago
Umno 'bersimpati' dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung kemasukan abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini pada September lalu, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu penghinaan, Presiden Umno itu berkata kerajaan BN ketika dipimpin Najib Razak secara konsisten menolak kemasukan abu mayat mendiang.

"Saya bersimpati dengan kerajaan sekarang, mereka diaibkan dengan abu mayat Chin Peng. Walaupun ketika kita memerintah jemaah menteri ketika itu bawah Najib telah menolak abu mayat itu dibawa ke negara kita.

“Ia (kemasukan abu ini) juga menghina rakyat dan menjurus ke arah pengiktirafan semula PKM.

"Ia juga mencerminkan betapa tidak ada kuasanya kerajaan sekarang kerana ditekan oleh pihak tertentu dalam PH," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Umno kali ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid juga mendakwa Chin Peng seolah-olah mahu didewakan oleh penyokongnya dan sejarah hendak ditukar dengan mengangkat mendiang sebagai pejuang kemerdekaan.
Recommended