Dr Mahathir perjelas video tular MB Perak berseorangan lawan DAP
  • 4 years ago
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada masalah dengan perbualan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam video yang tular baru-baru ini yang memerlukan tindakan diambil terhadapnya.


"Tiada apa. Kadang-kadang dalam situasi tertentu kita kena perjelaskan keadaan sebenar. "Dalam PH (Pakatan Harapan) ada kalanya DAP menguasai ada kalanya Bersatu berkuasa, ada kalanya PKR, Amanah sahaja yang dapat Melaka," katanya ketika ditanya sama ada timbul masalah dengan kenyataan Ahmad Faizal dan sama ada Bersatu akan mengambil tindakan terhadap Menteri Besar itu.

Menurut Dr Mahathir, Ahmad Faizal dalam perbualan itu hanya menerangkan kepada golongan nelayan bahawa walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP lebih ramai di Perak, namun beliau masih menjadi Menteri Besar yang menguasai Kerajaan Negeri.

Dalam video berkenaan, Ahmad Faizal, yang juga Pengerusi Bersatu Perak, dilihat memberitahu penduduk dan mengakui mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam kerana didakwa tidak sealiran dengan kehendak sekutunya, DAP.

Ahmad Faizal yang ketika itu dilihat turut bersama calon PH untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini, dipercayai sedang berbual dengan penduduk di kawasan Tanjung Piai mengenai situasi di Perak.